Selasa, 13 Januari 2009

Pembelajaran Sepanjang Hayat

PEMBELAJARAN SEPANJANG HAYAT

PENGENALAN
Salah satu isu yang sering diperkatakan oleh golongan akademik dan warga pendidik di Malaysia ialah pembelajaran sepanjang hayat iaitu setiap rakyat Malaysia sepatutnya sentiasa memberi keutamaan kepada peningkatan ilmu pengetahuan dalam diri masing-masing. Apabila setiap individu mengekalkan amalan meneroka ilmu pengetahuan secara berterusan tanpa mengira masa, tempat dan keadaan maka proses pembelajaran sepanjang hayat telah berlaku. Pendidikan seumur hidup akan berlaku secara berterusan dalam diri individu yang mengamalkan sikap positif terhadap ilmu pengetahuan dan kemahiran yang baru. Sekiranya setiap individu mempunyai satu tekad untuk meletakkan pendidikan sebagai agenda utama dalam hidupnya maka proses pembelajaran tidak akan berhenti begitu sahaja sebaliknya berlaku dengan pesat dan konsisten dalam diri individu tersebut.

GURU DAN PEMBELAJARAN SEPANJANG HAYAT (PSH)
Keberkesanan pengajaran dan mutu penyampaian ilmu yang sempurna oleh guru-guru merupakan nadi kejayaan pelaksanaan kurikulum dalam sesebuah sekolah Kemantapan penguasaan ilmu pedagogi yang ditimba di institut-institut pengajian tinggi sangat penting bagi membolehkan setiap individu yang terlibat secara langsung dalam pencarian ilmu mencapai kepuasan dan mengecapi cita-cita yang diimpikan (Mok Soon Sang. 2000). Sejajar dengan harapan kerajaan menerusi Kementerian Pendidikan untuk meningkatkan kualiti pendidikan di negara ini, guru sebagai ahli masyarakat yang bertanggungjawab mendidik dan membentuk masyarakat berilmu sangat perlu melalui pembelajaran sepanjuang hayat.
Konsep pemelajaran sepanjang hayat (PSH) atau lifelong learning bukanlah merupakan satu konsep yang baru dalam sistem pendidikan negara yang berlaku ekoran dari perubahan persekitaran baru di mana ekonomi berasaskan pengetahuan atau K-Ekonomi menjadi keutamaan. Justeru itu guru memainkan peranan dalam mengamal serta menerapkan konsep PSH kepada pelajar disamping memberi penekanan kepentingan PSH dalam pembangunan negara.
Definisi PSH
PSH dari segi konsepnya merangkumi pengertian yang begitu luas. Konsep ini merujuk kepada proses pendemokrasian pendidikan yang merangkumi program meningkat pengetahuan, kemahiran dan kompetensi samada secara formal di sekolah, pusat latihan vokasional, atau secara tidak formal berdasarkan pengalaman dan latihan di tempat kerja.
Di organisasi, pendidikan konsep ini merujuk kepada proses di mana pekerja mendapatkan pengetahuan/tacit knowledge serta melalui pengalaman bagi meningkatkan kemahiran. Mengikut Raymond A Noe (2002) PSH memerlukan pekerja (guru) memahami keseluruhan sistem kerja termasuk perhubungan di antara kerja mereka, unit kerja mereka dan organisasi. Pekerja diharapkan memperolehi kemahiran baru, menggunakannya dalam kerja dan berkongsi maklumat dengan pekerja lain.
Pengalaman yang bersifat pengetahuan seperti ini tidak akan dapat dipelajari secara bentuk yang biasa, tidak juga secara formal dan latihan. Ianya memerlukan pusingan yang berterusan mencipta, dissemination dan memahami erti pengkongsian ilmu. Berdasarkan kepada pandangan di atas, PSH dapat disimpulkan kepada proses seperti berikut:

i. Proses pembelajaran seseorang secara berterusan sama ada bagi tujuan meningkat kemahiran atau membangunkan kerjaya dalam sesuatu bidang pekerjaan pada masa sekarang mahu pun pada masa hadapan; dan
ii. Proses pembelajaran seseorang bagi meningkatkan ilmu pengetahuan tidak akan berakhir apabila seorang itu meninggalkan alam persekolahan, ianya adalah proses sepanjang hayat.
Konsep PSH Dalam Rancangan Pembangunan Negara
Menjelang Abad Ke-21 masyarakat antarabangsa lebih prihatin berbanding pada abad sebelumnya untuk meningkatkan ilmu pengetahuan melalui konsep PSH. Mengikut kajian UNESCO kemajuan dan kemakmuran yang dicapai oleh negara-negara membangun (Amerika Utara, Eropah dan Jepun) adalah hasil perancangan strategik pembangunan sumber manusia di mana seluruh anggota masyarakatnya mendapatkan peluang pendidikan terbuka dan pembelajaran sepanjang hayat.
Guru perlu mengaplikasikan PSH dalam meningkatkan profesionalismenya supaya seiring dengan perkembangan dalam negara dan antarabangsa. Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) melalui UNESCO mulai pertengahan tahun 1990an telah melancarkan program bagi meningkatkan kesedaran pentingnya PSH di kalangan negara-negara yang sedang membangun. Pandangan PBB ini adalah berdasarkan kepada kertas dasar yang disediakan oleh “Suruhanjaya Antarabangsa Mengenai Pendidikan Bagi Abad Ke -21” bertajuk “Learning: The Treasure Within.” Intisari kepada laporan tersebut mencerminkan bahawa PSH menjadi kunci kepada pembangunan sumber manusia khususnya Malaysia dalam Abad Ke-21. Justeru itu pembangunan profesionalisme guru menerusi PSH sangat penting sekali.
Pembangunan Profesionalisme guru ini sangat wajar kerana Kerajaan Malaysia telah mengambil tindakan proaktif mengubal dasar di mana PSH menjadi teras utama dalam perancangan pembangunan negara. Rangka Rancangan Jangka Panjang Ketiga (RRJP3) bagi tempoh 2001 – 2010 dan Dasar Wawasan Negara (DWN) adalah merupakan rangka pembangunan negara jangka panjang bagi menghadapi cabaran globalisasi, liberalisasi ekonomi dan persekitaran ekonomi berasaskan pengetahuan. Dalam erti kata yang lain, peranan guru sebagai pelaksana dasar kerajaan di peringkat akar umbi sangat diperlukan. Guru perlu melalui proses PSH bersama dengan murid-murid.
Guru Sebagai Pengamal PSH
Pembangunan Profesional guru akan berlaku dengan efektif menerusi PSH Dengan mengamalkan PSH, seorang guru akan dapat melahirkan masayarakat berilmu serta memenuhi tuntutan Falsafah Pendidikan Negara (FPN), FPN yang diumumkan pada tahun 1988 adalah seperti berikut,
‘ Pendidikan di Malaysia adalah suatu usaha berterusan ke arah memperkembangkan lagi potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu untuk mewujudkan insan yang harmonis dan seimbang dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani berdasarkan kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan, Usaha ini adalah bagi melahirkan rakyat Malaysia yang berilmu pengetahuan, berketrampilan, berakhlak mulia bertanggungjawab dan berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri serta memberi sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran masayarakat dan negara.’

Pembelajaran sepanjang hayat yang disarankan oleh kerajaan sebenarnya merupakan inti kepada pembangunan diri setiap guru di Malaysia terutamanya dalam mencapai wawasan 2020 yang mengandungi 9 cabaran seperti berikut,
Membentuk sebuah negara bangsa yang bersatu padu serta menyanjung masa hadapan yang diperkongsi bersama. Bangsa itu mestilah sejahtera, terintegrasi wilayah-wilayah dan kelompok-kelompok etniknya, menikmati kehidupan bersama yang sepenuhnya berasaskan persamaan hak dan keadilan, membentuk sebuah ‘Negara Malaysia’ dengan rasa taat setia dan pengabdian yang tidak berbelah bagi terhadap bangsa tersebut.
Melahirkan sebuah masayarakat Malaysia yang bebas, teguh dan telah terbentuk jiwanya, yakin akan dirinya sendiri, hingga akan keadaannya kini dan segala sesuatu yang telah dicapainya, dan cukup tangkas untuk menghadapi segala macam rintangan. Masyarakat Malaysia itu mestilah mempunyai sifat-sifat mengejar kecemerlangan, benar-benar menyedari segala kemungkinan dirinya, tidak terkongkong jiwanya, dan dihormati pula oleh semua bangsa lain.
Membentuk dan memperkembangkan sebuah masyarakat demokrasi yang matang, yang mengamalkan suatu bentuk demokrasi Malaysia yang unggul berasaskan muafakat dan musyawarah dan dapat dicontohi oleh negara-negara membangun lainnya.
Membentuk sebuah masyarakat yang kukuh ciri-ciri moral dan etikanya dengan para warganya mempunyai nilai keagamaan dan kerohanian yang utuh dan disanjung oleh budi pekerti yang luhur.
Membentuk sebuah masyarakat matang yang bersifat liberal lagi toleran dengan setiap warga bangsa Malaysia, tanpa mengira keturunan mahupun kepercayaannya, bebas mengamalkan dan melaksanakan adat resam, kebudayaan serta kepercayaan agamanya masing-masing tanpa merasa tersisih daripada bangsa tersebut.
Membentuk sebuah masyarakat yang bersifat sains serta progresif, berdaya cipta dan berpandangan jauh ke hari muka, yakni sebuah masyarakat yang bukan sahaja dapat memanfaatkan teknologi kini tetapi turut menjadi penyumbang terhadap pembentukan peradaban sains dan teknologi pada masa hadapan.
Membentuk sebuah masyarakat berbudi dan berbudaya penyayang , sebuah system sosial yang lebih mementingkan masyarakat daripada diri sendiri, dengan kebajikan rakyat tidak diasaskan pada negara mahupun individu tetapi pada system kekeluargaan yang kukuh lagi mantap.
Menjamin terbentuknya sebuah masyarakat yang adil ekonominya. Masyarakat itu akan menjamin pengagihan kekayaan negara secara adil lagi saksama dengan kemajuan ekonominya dinikmati bersama oleh setiap rakyat, Masyarakat yang demikian tidak akan terbentuk selagi terdapat penentuan fungsi ekonomi berdasarkan kaum dan pemusatan kemunduran ekonomi kepada kelompok-kelompok kaum yang tertentu.
Membentuk sebuah masyarakat yang makmur dengan ekonomi yang mampu menghadapi persaingan bersifat dinamik, tangkas dan mempunyai daya ketahanan.
Oleh itu guru-guru perlu mempunyai komitmen yang sepenuhnya kepada kecemerlangan dalam pengajaran, penyelidikan dan perkhidmatan dengan mengekalkan mutu yang terbaik. Mereka perlu mempunyai kesanggupan untuk bergerak balas secara proaktif bagi mengubah dan menyumbang secara berkesan terhadap keperluan masyarakat. Serta kesanggupan untuk menggunakan ilmu, penemuan dan pembaharuan untuk dimanfaatkan oleh masyarakat umum dan ekonomi Malaysia.


Guru-guru hendaklah mempunyai kesanggupan untuk terus bertanggungjawab bagi menggalakan suasana keilmuan yang kondusif, perkembangan budaya, pembelajaran sepanjang hayat dan perkembangan individu. Mereka wajar mempunyai komitmen yang sepenuhnya terhadap nilai etika yang tinggi, keadilan, menghormati antara satu sama lain dan kebertanggungjawaban (akauntabiliti), Komitmen sepenuhnya dalam perhubungan kerjasama melalui perkongsian maklumat dan penglibatan bersama dalam membuat keputusan dan komitmen sepenuhnya kepada peningkatan kualiti, kecekapan dan keberkesanan, terutamanya dalam penggunaan sumber.
Penutup
Mengikut UNESCO kemajuan dan kemakmuran yang dicapai oleh negara maju seperti Amerika Syarikat, Eropah dan Jepun adalah hasil dari perancangan strategik pembangunan sumber manusia di mana seluruh anggota masyarakatnya mendapat peluang pendidikan terbuka dan mengamalkan PSH. Manakala mengikut Doughlas Holmes (2001) “It seems that lifelong learning is fast becoming an imperative for all in the New Economy. Not a luxury. Not an option. But a survival strategy.” Justeru itu, dasar melaksanakan konsep PSH dalam pembangunan profesionalisme guru sebagai sumber manusia yang melahirkan masayarakat berilmu perlu diambil tindakan segera oleh JPA sebagai role-model kepada keseluruhan perkhidmatan awam.







BIBLIOGRAFI
Mok Soon Sang. (2000). Ilmu Pendidikan Untuk KPLI (Kursus Perguruan Lepas Ijazah)
Semester 2.

Ee Ah Meng. (1999) Pendidikan Malaysia. Fajar Bakti Sdn. Bhd. Shah alam.

Dr. Asma Ahmad. Reka Bentuk Latihan . Jabatan Pemajuan Profasional dan Pendidikan
Lanjutan. Fakulti Pengajian Pendidikan. Universiti Putra Malaysia.

Mohd. Ismail Amzam. (1994). Asas Organisasi dan Kepimpinan Untuk Persatuan dan
Kelab. Fajar Bakti Sdn. Bhd.

Anne Evans ( 1993).Working At Home : A New Career Dimension International Journel
Of Career Management. Volum 5 Number 2

Tiada ulasan: