Khamis, 15 Januari 2009

Laman IPTS: Jururawat profesional


Ketua Akademik Institut Kesihatan Sains dan Kejururawatan Pantai, Habibah Baharuddin (dua dari kiri) menunjukkan cara membantu pesakit kepada pelajar di Kompleks Summit, Subang Jaya, baru-baru ini.

Institut Kesihatan Sains dan Kejururawatan Pantai ambil 840 pelatih baru setahun ikuti pengajian diploma

BERMULA dengan 26 pelajar ketika dibuka pada 1993, kini Institut Kesihatan Sains dan Kejururawatan Pantai kendalian Pantai Education Sdn Bhd anak syarikat Kumpulan Hospital Pantai, boleh berbangga kerana sehingga ini berjaya melatih 1,700 jururawat, termasuk 20 lelaki.

Kini institut yang beroperasi di Kompleks Summit, Subang Jaya dan Air Keroh, Melaka, menawarkan 840 tempat setahun seperti diluluskan Lembaga Jururawat Malaysia bagi mengikuti pengajian Diploma Kejururawatan kendaliannya.


Ketua Pegawai Eksekutif Institut Kesihatan Sains dan Kejururawatan Pantai, Vino Nallaya, berkata penubuhan Pantai Education Sdn Bhd selaras dengan permintaan tenaga jururawat oleh empat pusat perubatannya ketika itu, iaitu Pusat Perubatan Pantai, Bangsar; Pusat Perubatan Pantai, Cheras; Pusat Perubatan Pantai Puteri, Ipoh dan Pusat Perubatan Pantai, Klang.Jumlah itu

Beliau berkata, setakat ini jumlah jururawat dikeluarkan mencukupi bagi memenuhi keperluan termasuk untuk lima lagi pusat perubatan yang ditubuhkan kemudian, iaitu Pusat Perubatan Pantai Mutiara, Pulau Pinang; Pusat Perubatan Pantai Air Keroh, Melaka; Pusat Perubatan Pantai Batu Pahat; Pusat Perubatan Pantai Indah, Cheras dan Pusat Perubatan Pantai Utara, Sungai Petani.

Katanya, institut diiktiraf Kementerian Kesihatan dan Kementerian Pelajaran itu akan membuka kampus sendiri yang boleh memuatkan 3,000 pelajar pada sesuatu masa.

“Institut dilengkapi pelbagai kemudahan, termasuk asrama, dewan makan, bilik kuliah, dewan dan peralatan canggih ini akan dibina di Iskandar Malaysia dalam tempoh empat tahun akan datang.

“Kami berharap ia menjadi realiti berikutan permintaan kerjaya jururawat yang kini semakin mendapat tempat bukan saja di dalam malah luar negara,” katanya.

Nallaya berkata, matlamat penubuhan institut itu antara lain bertujuan menyediakan peluang pendidikan serba canggih, sekali gus membantu meningkatkan potensi pelajar menjadi jururawat bertauliah dan profesional.

Bagaimanapun, beliau berkata, jumlah pengambilan sekarang sesuai dengan permintaan, di samping bertujuan mengekalkan kualiti pelajar dan jururawat yang dikeluarkan.

Beliau mengakui mendapat persaingan sihat daripada institusi lain yang turut menganjurkan kursus sama berkata, antara kelebihan pelajar Institut Kesihatan Sains dan Kejururawatan Pantai ialah menjalani latihan industri di pelbagai Pusat Perubatan Pantai itu.

“Ada institusi lain yang menganjurkan kursus sama ingin menggunakan kemudahan bagi pelajar mereka mengikuti latihan industri di pusat perubatan kami, tetapi ia tidak diterima oleh pihak pengurusan,” katanya.

Selain melatih pelajar Kumpulan Hospital Pantai, katanya, institut itu juga melatih pelajar dari institusi kesihatan lain seperti Institut Jantung Negara dan Kementerian Kesihatan.

Mengenai kemasukan pelajar mengikuti kursus diploma tiga tahun itu, Nallaya berkata, pengambilannya dibuat dua kali setahun.

Katanya, mereka yang berminat perlu mempunyai kelayakan minimum Sijil Pelajaran Malaysia dengan kredit Bahasa Melayu, Matematik dan Sains, selain lulus Bahasa Inggeris serta satu mata pelajaran lain.

Beliau berkata, program itu membabitkan kos keseluruhan RM42,000 meliputi yuran pendaftaran, yuran kursus, pakaian seragam, kenderaan, insurans dan wang saku RM450 hingga RM500.

Tiada ulasan: